Friday 29 July 2011

Tinggal Kenangan - Ayah ku.

Sewaktu alam kanak-kanak aku sangat rapat dengan ayah. Banyak perkara kami lakukan bersama untuk kehidupan cara orang kampong. Perkara-perkara lumrah seperti menorah getah (dipanggil ‘memotong’ getah), menanam padi (segala proses sebelum menanam hingga menuai), menyauk ikan dalam ‘belat’, tidor di kebun buah-buahan dalam hutan ‘geta’ (kebun durian, langsat, manggis dan lain-lain). Kami juga sering masuk hutan mencari rotan untuk kegunaan membuat atap rumah dari daun rumbia. Selain itu mencari buah kerdas, petai, tampoi atau taban.

Ayah antara orang di Relong yang memiliki senapang shoot gun 12 bore. (disebut ‘senapang patah’). Ayah ku juga mempunyai kepandaian yang tidak dimiliki oleh orang lain di Relong (setahu aku). Kepandaiannya dipanggil ‘mengetuk kancil’. Lihat caranya amat mudah, dengan menggunakan dua atau tiga keping daun hutan yang lebar dan sebatang kayu sebesar jari. Kombinasi daun dan kayu membuat ‘ketukan’ diatas tanah dengan alunan lagu/rentak tersendiri. Bila terdengar ketukan itu sang kancil pun datang menghampiri. Masa itu ayah akan mengangkat senapang lalu melepaskan tembakan. Aku akan berlari mendapatkan kancil ditembak untuk disembelih ayah. Beberapa kali juga aku sempat melihat sang kancil akan ‘menari-nari’ mengikut rentak ‘ketukan’ yang dibuat ayah. Kekadang ayah saja melayan tarian kancil untuk aku melihatnya dulu sebelum menembak. Lokasi ‘mengetuk kaqncil’ kami ialah sepanjang Bukit Peninjau dan sekitar hutan ‘Geta’. Semasa kecil ku memang puas makan kancil.


Ketika umur ku menjangkau 11 ke 12 tahun aku sudah berani sendirian merayau sekitar hutan Geta berbekalkan ‘senapang patah’ ayah. Aku juga sudah mula pandai menembak. Ayah tidak pernah melarang perbuatan ku belajar menembak tupai dan kera (monyet) di kebun durian. Amat menyeronokan. Aku juga pernah meniru dan mencuba cara ayah ‘mengetuk kancil’. Meski pun kawasan itu dipercayai memang ada kancil hasil telitian keatas daun gelugur dengan kesan dimakan kancil namun sang kancil tak pernah muncul. Ayah juga yang menunjuk ajar cara kancil hanya makan daun gelugur relai (jatuh) pada tangkalnya sahaja.

Semasa masih dirumah sebelum keluar kehutan bersama ayah terbayang pelbagai perkara menakutkan. Perkara paling membimbangkan ialah jika bertemu pak belang (harimau). Alhamdulillah, sepanjang masa berada dihutan kami tidak pernah bertembung dengan pak belang dan perkara-perkara lain yang menakutkan aku sebagai seorang budak. Masih ingat ayah pernah berkata “masuk hutan mesti berani, segala benda dihutan juga makhlok Tuhan. Mintalah perlindungan-Nya agar kita selamat.”



Kepandaian ayah ‘mengetuk kancil’ tidak diwarisi oleh siapa-siapa bir pun abang ku ‘Berahim’ kini mewarisi ‘senapang patah’ nya. Semuanya hanya tinggal kenangan.


No comments:

Post a Comment